PETALING JAYA: Obesiti perlu ditonjolkan sebagai satu penyakit bagi menunjukkan betapa ia boleh membahayakan kesihatan seseorang.
Dua persatuan kesihatan mahu kerajaan melakukan sesuatu bagi mewujudkan kesedaran awam berhubung perkara ini.
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia Prof Dr Mohd Ismail Noor
berkata situasi masa kini menunjukkan bahawa langkah perlu dimulakan
segera kerana terdapat juga kanak-kanak yang mengalami masalah berat
badan.
"Mereka tidak menyedari bahawa ia (obesiti) adalah penyakit. Jadi,
tiada siapa peduli dan berfikir bahawa gemuk itu OK. Apabila kita
menganggapnya sebagai satu penyakit, ia akan menyedarkan orang ramai,"
katanya.
Beliau berkata obesiti merupakan faktor asas bagi penyakit kronik seperti kencing manis.
Obesiti dan berat badan berlebihan adalah antara faktor-faktor
berlakunya risiko untuk penyakit kencing manis jenis II dan kencing
manis gestasi - yang berlaku semasa kehamilan.
Malaysia menduduki tempat keenam di rantau Asia Pasifik bagi masalah
obesiti dan mendahului senarai di Asia Tenggara untuk kedua-duanya;
obesiti dan kencing manis.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya baru-baru ini
berkata, terdapat kira-kira tiga juta rakyat Malaysia yang mengalami
lebihan berat badan dan bilangannya semakin meningkat dalam situasi di
mana kira-kira lima juta individu menderita mengalami pelbagai peringkat
penyakit kencing manis.
Gaya hidup yang tidak aktif adalah antara faktor utama bagi peningkatan angka ini.
Dr Mohd Ismail berkata sesetengah ibu bapa menganggap mempunyai
anak-anak yang montel adalah gambaran bahawa mereka dijaga dan diberi
makan yang secukupnya tetapi mereka tidak sedar bahawa kanak-kanak itu
mungkin berlebihan berat badan semasa akil baligh dan ini akan
berterusan sepanjang hayat mereka.
"Sekali anda mengalami obesiti, ia akan menjadi masalah sepanjang hayat," katanya.
Beliau berpendapat bahawa pengurangan subsidi dalam barangan seperti
gula dan minyak akan memaksa rakyat Malaysia mengurangkan penggunaan
bahan makanan itu.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong berkata,
walaupun obesiti tidak disenaraikan sebagai punca kematian, ia boleh
dianggap sebagai penyakit di Malaysia apabila bercakap tentang bahaya
dan mewujudkan kesedaran kepada orang awam.
"Ini kerana obesiti adalah satu faktor utama yang memberi risiko
kepada banyak penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, penyakit
jantung, strok dan beberapa jenis kanser," katanya.
"Sebab utama saya untuk memanggil obesiti ini penyakit adalah supaya orang ramai lebih sedar mengenai bahaya keadaan.
"Bagaimanapun, saya pasti tidak mahu ia mempunyai implikasi negatif.
Sebagai contoh, kanak-kanak dan orang dewasa yang gemuk tidak boleh
didiskriminasi," katanya.
Beliau berkata, perkara utama bukanlah sama ada obesiti dilabelkan
penyakit atau tidak tetapi untuk semua pihak yang berkepentingan memberi
perhatian yang mencukupi ke arah mencegah obesiti berserta komitmen
politik yang tertinggi.
"Patut diwujudkan pelan strategik dan pelan tindakan. Perlu ada
pendekatan yang sistematik ke arah membanteras masalah ini," katanya.
++++++++++++++++
Namun begitu, mereka yang mengalami masalah obesiti jangan dipandang rendah. Malah kita perlu berusaha membantu mereka.
Sumber: mStar Online
No comments:
Post a Comment