Instagram

Tuesday, 7 January 2014

Doktor, anak saya gemuk !!!






Di negara ini, 7 daripada 10 individu berdepan dengan masalah kegemukan hingga meletakkan Malaysia di tangga teratas di Asia.

Apa yang membimbangkan, ialah kanak-kanak yang ibu bapa atau adik beradik yang lain gemuk, risiko untuk dirinya turut menjadi gemuk adalah tinggi.

Lebih menakutkan apabila kanak-kanak yang gemuk berpotensi untuk kekal obes apabila dewasa kelak. Apatah lagi masih ramai di kalangan ibu bapa yang tidak melihat obesiti sebagai satu masalah yang perlu ditangani segera. Sedangkan bagi kanak-kanak yang gemuk disebabkan faktor pemakanan, peluang mereka untuk pulih lebih tinggi.

Persoaalannya, bagaimana ingin mengetahui sama ada anak anda obes atau pun tidak?

Setiap anak mempunyai kadar tumbesaran berbeza. Disebabkan itu tidak mudah untuk memastikan sam ada anak anda membesar dengansihat atau berdepan masalah kegemukan. Sekiranya anda merasakan anak berada dalam kategori ini, berbincanglah dengan doktor bagi mendapatkan kepastian.

Doktor akan melihat dari sudut usia dan corak tumbesaran kanak-kanak tersebut bagi memastikan dia tidak mengalami masalah berat berlebihan. Begitu pun, tugas menilai berat badan kanak-kanak adalah sukar kerana tumbesaran mereka sukar untuk diramal. Contohnya, adalah normal bagi budak lelaki yang mengalami peningkatan berat badan dengan pesat dan kemudia baru diikuti dengan peningkatan ketinggian.

Apakah yang boleh dilakukan sekiranya anak saya terlalu gemuk atau obes?

Libatkan seluruh ahli keluarga dalam mengamalkan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal. Jangan biarkan anak anda yang obes itu melalui diet tertentu melainkan dengan saranan doktor. Ini kerana mereka tidak akan mendapat makanan secukupnya. Pengawasan dan kebebasan harus seimbang dalam memantau pemakanan mereka.

Terus memberi sokongan

Terimalah keadaan anak anda walaupun dia obes. Jangan mempersendakan mereka terutama di hadapan orang lain kerana mereka mempunyai perasaan dan harga diri. Dengar rintihan dan beri perhatian serius akan kebimbangannya terhadap rupa dirinya itu. Anak obes yang sedar mereka mengalami kegemukan yang serius bukan sahaja memerlukan perhatian malah amat memerlukan sokongan serta galakan anda.

Kepentingan bersenam

Bantu anak memilih aktiviti yang diminati atau melibatkan diri dalam sebarang aktiviti di luar rumah yang mampu menarik minatnya. Aktiviti secara berkumpulan sering menjadi daya penarik untuk melibatkan diri secara aktif. Tubuhkan satu kumpulan mini suka di kawasan perumahan anda. Selepas bersenam, tekankan keperluan aktiviti atau beriadah luar dan bagaimana semua ini dapat memberi kebaikan kepada kesihatan seperti menimbulkan rasa gembira, mengurangkan berat badan, melegakan stres dan meningkatkan sistem imun tubuh.

Amalan pemakanan sihat

Beli dan hidangkan lebih banyak buah serta sayur-sayuran (jenis segar, buah-buahan dalam tin, buah kering mahupun jenis beku). Berikan pilihan kepada anak untuk membuat keputusan bila membeli keperluan dapur.

Anda juga boleh memikirkan pelbagai cara untuk menarik mereka menikmati buah-buahan seperti  membuat agar-agar campuran buah-buahan segar, 'sherbet' buah mangga, 'shake' buah pisang, ais krim buah-buahan atau penkek buah serta ros buah-buahan.

Kurangkan minuman manis dan snek berkalori tinggi seperti kentang goreng, biskut dan manisan. Sebaliknya berikan kekacang, buah-buahan kering, emping jagung, kuaci dan sebagainya. Pastikan anda bersarapan setiap hari yang merupakan masa makan terpenting dalam sehari.

Kepimpinan melalui teladan

Amalkan satu peraturan di kalangan keluarga anda. Misalnya menggunakan telefon, menonton televisyen atau bermain komputer sewaktu makan adalah tabiat kurang bijak. Ia menjadikan kita tidak fokus terhadap kuantiti diambil yang kemungkinan besar menyebabkan kita makan dengan banyak.

Pertelingkahan ibu bapa

Sama ada anda mahu percaya atau pun tidak, ibu bapa yang sering bertengkar di hadapan anak-anak menjadi salah satu punca anak berasa tertekan dan makan menjadi kaedah paling mudah menghilangkan kerunsingan diri. Kajian membuktikan ibu bapa yang suka bertelagah di hadapan anak akan memberikan impak negatif pada emosi dan ini mendorong mereka melakukan perkara yang tidak sihat.
Melihat kelemahan diri

Saiz bahan bukan perkara penting untuk berjaya dalam hidup. Ambil segala peluang yang ada dan berazamlah untuk mengubah imej diri kepada lebih positif untuk membina keyakinan diri. Pada masa sama, galakan positif amat penting untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti lasak atau pun riadah sehingga anak boleh menjadikannya sebagai gaya hidup mereka.
Makan bila tertekan

Sebenarnya, cara positif untuk mengendalikan stres ialah dengan menggunakan kaedah mengalihkan rasa tertekan kepada melakukan satu aktiviti seperti berjoging, mendengar muzik, membaca Al-Quran atau melihat keindahan alam sekitar yang telah dianugerahkan kepada kita. Cara ini akan membuat anak melihat dan meneladani tindakan kita. Tidak semestinya makan untuk menyelesaikan masalah.
Makan secara tertib

Mengunyah makanan dengan perlahan-lahan adalah satu cara yang amat berkesan dalam mengawal nafsu makan. Ini kerana perut mengambil masa untuk menghantar isyarat yang kita sudah kenyang selepas lebih kurang 20 minit kita menikmati hidangan. Mengunyah secara tertib dan tidak gopoh membantu proses penghadaman dan mengurangkan rasa pedih ulu hati serta rasa kembung selepas makan. Didik dan latih anak makan dengan tertib serta kunyak perlahan-lahan sebelum menelan makanan.


Sumber: Majalah iSihat Edisi April 2013





Pengedar Sah Shaklee
Hidayah Mohamad
019-983 5090
Post a Comment